Salam!
Catitan kali ini lebih kepada bentuk "repost" atau mengulang-siar satu artikel nukilan Datuk Noor Azam, yang juga bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, selain pernah juga duduk di kerusi Pengerusi TV3 di awal tahun 1990-an; kini dirapatkan ukhwah dengan keluarga kami menerusi pertalian perkahwinan adik saya dengan cucu lelaki beliau.
Sebelum ikatan tersebut, kami sudah tahu beliau yang bergelar Datuk adalah "seseorang" dalam kelompok tersendiri, namun sikap rendah diri Datuk, bersahaja dan tidak pernah sekali pun mendabik dada (malah anak-beranak beliau juga bersikap demikian) pernah menjadi itu dan ini, membuatkan kami (setidaknya aku, rasa kagum) terhadap beliau.
Malah, apabila "bertembung" dengan artikel berikut ini yang ditulis pada 2010 tambah rasa hormat dan segan aku terhadap penulisan dan tahap intelektual beliau, yang boleh dikira sebagai 'visionary'. Yang tinggal kini, untuk kita lihat sama ada 'prophecy' Datuk Noor Azam benar atau tidak menjelang PRU13 kelak (harap tidak).
DATUK NOOR AZAM ialah bekas Setiausaha Politik kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad
TIADA
lagi esok untuk kita! Kuasa politik kita yang dominan yang diwarisi
sejak zaman Melaka dan dipegang kuat selama 54 tahun akan hilang.
Berdasarkan realiti dan sentimen politik pengundi sekarang, bencana
politik ini akan terjadi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13. Paling
lama, dua tahun saja lagi! Ada orang percaya dan hampir percaya, angka
13 membawa bencana.
Ahli Parlimen DAP,
Teo Nie Ching, ketika melawat pejabat Harakah mengatakan, beliau "yakin
dan percaya UMNO tidak akan mendapat undi masyarakat Cina pada PRU
ke-13." Beliau diundang berceramah dan beri bantuan di dalam surau.
Banyak benar kita bercakap tentang Islam tetapi bantuan untuk surau pun,
kita minta daripada orang bukan Islam. Di mana maruah kita?
Mungkin
Teo terlupa memberitahu Harakah, "Penyokong Pas akan tetap mengundi
DAP, kerana mereka percaya DAP lebih baik daripada UMNO. Mereka lebih
percaya orang Cina daripada orang Melayu." Pemimpin DAP sudah diundang
memberi ceramah dan bantuan dalam surau dan masjid.
Orang Pas sangat bangga. "Tengoklah, Pas berjaya bawa Cina masuk ke dalam surau. Bagi duit pula".
Pemimpin
dan penyokong Pas megah kerana pemimpin DAP baca ayat al-Quran semasa
kempen pilihan raya. Beri sumbangan untuk majlis berkhatan. DAP tak
sokong negara Islam, tetapi menyokong Pas, sebab Pas sekarang bukan lagi
'Parti Islam', tetapi 'Parti untuk Semua'.
Teo
mungkin terlupa, "Majlis Syura Pas telah bersetuju dan membenarkan
orang bukan Islam bertanding di bawah lambang Pas. Zaman dulu, Pas tuduh
UMNO kafir kerana berpakat dengan MCA untuk memerintah, tetapi sekarang
'Pas baru' pimpinan Tok Guru Abdul Hadi dan Tok Guru Nik Aziz boleh
ikut memerintah dengan DAP. Di Pulau Pinang, khatib pun mendoakan Lim
Guan Eng dalam khutbah Jumaat. Banyak lagi alasan mengapa pengundi Cina
tak akan undi UMNO, tetapi pasti akan undi DAP.
Maka
kehilangan kuasa Melayu ini bukan suatu dongeng. Ia telah terjadi di
Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Ipoh dan Petaling Jaya sekarang. Hal ini
terjadi disebabkan majoriti pengundi bukan Melayu berada di kawasan
bandar.
Kita boleh kira berapa kerusi
yang akan dimenangi DAP dan Pas. Seperti yang pernah berlaku di Perak,
Pas pun boleh duduk dengan megahnya di bawah bayangan kuasa DAP. Fakta
ini, semua tahu. Lebih daripada tahu! Tak payah diulang-ulang. Tak payah
diperingatkan oleh Teo Nie Ching "Orang Cina tidak akan undi UMNO."
Akan
tetapi masih ramai orang Melayu, termasuk pemimpin politik dan generasi
muda, tidak menganggap perubahan ini suatu kecelakaan besar. Orang
seperti Datuk Nazri Aziz mungkin tak kisah, sebab beliau "rakyat
Malaysia terlebih dulu, barulah orang Melayu". Tok Guru Nik Aziz pun
"tak bangga jadi Melayu".
Bagi orang yang
sama sikap dengan mereka ini, siapa perintah negara dan jadi Perdana
Menteri pun sama saja. Akan tetapi bukankah Datuk Nazri seorang menteri
dan Ketua Bahagian serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO? Beliau tak wajar
lagi memegang semua jawatan itu mewakili parti kebangsaan Melayu.
Betullah ramai pemimpin kita yang bercelaru, lantas Melayu pun
bercelaru.
Kata Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin, umat Islam di
negara ini sudah "tenggelam punca". Tun Mahathir telah banyak kali
sangat memberi amaran.
Beliau memerintah
negara dan menjadi Pengerusi BN selama 22 tahun. Mengepalai BN bertarung
dalam lima pilihan raya. Ada pilhan raya yang BN menang besar dan ada
yang hampir hilang kuasa. Beliau kalah di Kelantan, Terengganu dan
Sabah. Mengalami dua krisis UMNO yang sangat besar. Pada zamannya, UMNO
pecah dua dan diharamkan di mahkamah.
Beliau
turut berhadapan dengan raja-raja kerana meminda Perlembagaan. Ada
orang Melayu menggelar beliau "Maha Firaun" dan ada orang UMNO kata, dia
"diktator". Beliau menangani krisis kewangan yang gawat. Dan
macam-macam krisis dan cabaran lagi. Dihadapi dan diselesaikan satu
persatu.
Apabila mengundurkan diri tanpa
terpaksa atau dipaksa, dan menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi; BN, UMNO dan negara berada dalam keadaan yang kukuh dan
stabil. Bukan dalam masa kekalahan! Maka pemerhatian politiknya tajam
dan berdasarkan pengalaman dan fakta yang nyata. Amarannya bukanlah
wayang politik dan suka-suka.
Tan Sri
Harussani, Mufti Perak, seorang ulama dan bukan orang politik yang telah
cuba memperkukuh politik Melayu, akhir-akhir ini ikut prihatin dan
mengingatkan: "Jika UMNO dan Pas tidak bersatu, Melayu akan hilang kuasa
pada PRU ke-13" dan "Akan berlaku satu bentuk penjajahan baru." Lebih
daripada itu, dalam masa dua tahun terakhir ini, beberapa orang Raja
Melayu pun, sudah berkali-kali memberi nasihat dan amaran. Tidak pernah
Raja-Raja Melayu bercakap politik seperti sekarang. Tidakkah ini alamat
keruntuhan kedaulatan institusi Raja Melayu sudah bermula?
Raja
Dr. Nazrin bimbang masa depan umat Islam di negara ini yang katanya
berada "dalam suasana kritikal, bagaikan tenggelam punca". Katanya lagi,
"Penderitaan dan penghinaan yang menimpa sebahagian umat Islam di
Palestin, Afghanistan dan Iran, bermula daripada pemesongan di kalangan
pemimpin yang rela membuka laluan kepada orang bukan Islam untuk
melakukan pencerobohan serta kemusnahan terhadap bumi dan umat Islam
sendiri."
Justeru baginda mengingatkan:
"Pencerobohan besar bermula daripada perbuatan kecil. Ia mungkin bermula
dari surau, madrasah, masjid atau sebuah mimbar. Ia bermula daripada
satu ungkapan, ucapan, khutbah, tazkirah atau doa.
"Ia
bermula daripada pencerobohan kecil, ketika orang Islam masih belum
insaf, berdegil dan sombong mempertahankan ego serta memilih untuk
bertelagah. Mereka sebenarnya memberi petanda yang salah, seolah-olah
menggalakkan pencerobohan lebih besar boleh dilakukan ke atas umat dan
institusi Islam."
Antara perubahan utama
yang akan dilakukan apabila pakatan Pas-DAP-PKR memerintah adalah
meminda Perlembagaan Persekutuan dan Negeri, mengubah pengagihan jawatan
menteri, ketua-ketua jabatan kerajaan, polis dan tentera dan ketua
eksekutif GLC, PNB, TNB, dan Telekom Malaysia. Menambah kawasan pilihan
raya di kawasan bandar. Mereka juga akan mengadakan semula pilihan raya
untuk Dewan Bandar Raya, Majlis Bandaran dan Kerajaan Tempatan. DBKL
pasti akan berubah wajah. Maka bermulalah "penjajahan baru" yang disebut
Tan Sri Harussani.
PRU ke-12 adalah
tsunami politik dan amaran Allah. Malangnya pemimpin politik
Melayu-Islam masih terus bertelagah merebut kuasa, jawatan, pangkat dan
kekayaan. Sejarah kejatuhan Empayar Rom, Empayar Islam dan kemusnahan
kuasa kerajaan-kerajaan Melayu, nampaknya tidak mampu mengajar kita.
Justeru,
kecelakaan politik yang akan menimpa kita bukanlah kerana 'nasib'
tetapi kerana perbuatan kita sendiri. Maka janganlah kita selalu sedih
'mengenangkan nasib' kerana ini sikap orang yang mengaku tewas sebelum
berjuang.
Hakikatnya, asas dan kunci
kekuatan Melayu berada di tangan Melayu. Jangan kita lupa bahawa
pertubuhan-pertubuhan Melayulah yang menubuhkan UMNO dan sepanjang
perjuangan UMNO, di belakangnya bergerak secara konsistan pelbagai macam
pertubuhan Melayu, termasuk pertubuhan pegawai kerajaan, penghulu,
penulis, wartawan dan guru.
Meskipun
adakala mereka tidak sekata dengan UMNO, tetapi mereka tetap setia
bersama UMNO. Di situlah kekuatan UMNO. Kekuatan sebenar yang telah
terbukti selama setengah abad, bukan kekuatan dalam pesta makan minum
berbaju batik aneka warna.
Penghuni Gua : Fikirkan . Melayu semua kena fikirkan. Pengundi muda perlu serius untuk fikirkan pandangan Dato Noor Azam ini.
2.
Jangan kita jadi pandir. Ayam terlepas , tangan bau tahi. Untuk
membangunkan sesuatu bangsa dan negara ia memerlukan masa
bertahun-tahun. Jika nak rosakkan ia hanya boleh berlaku tak sampai
sehari. Fikirkan.
3. Semua pihak boleh
berjanji syurga dunia dan akhirat . Terutama senang berjanji jika kita
tak memegang kuasa. Boleh bercakap apa sahaja. Jadi jangan harapkan
janji manis atau cahaya dihujung terowong yang belum tentu akan bersinar
terang. Bernegara ini bukan bahan ujikaji. Yang ada perlu dikekalkan.
Ia boleh diperbaiki jika ada kekurangan. Bukan merobohkan apa yang telah
terpasak kukuh.
4. Fikirkan!!!!