Friday, December 9, 2011

Kenangan....

Kenangan.

Hidup memang banyak kenangan. Suka duka. Pahit manis. Ada yang kita perlu lupakan, ada yang ingin kita ingati dan ada...yang sudah kita terlupa tiba-tiba menerjah kembali.

Contoh hari ini, ketika ini, tiba-tiba aku teringatkan cikgu sementara sekolah rendah aku di Kampung Tunku, ketika Darjah 4. Cikgu Nur Izzah Mokhtar kalau tak silap, beliau menjadi guru sambilan untuk tiga bulan rasanya ketika itu. Kami rapat dengannya. Aku rapat dengannya. Selepas dia berhenti mengajar, kami (bersama dua tiga rakan sekelas) pernah ke rumah beliau berhampiran dengan sekolah kampung tunku, betul-betul dekat simpang stesen minyak Esso.

Kami berjalan kaki ke rumahnya yang mengambil masa kira-kira 10 minit. Sampai ke rumah beliau, kami dihidangkan air oren ais. Sejuk. Rumah banglo cikgu aku masih boleh ingat, kosong ketika itu tiada orang- kedua ibubapa beliau keluar (bapa cikgu seorang Hakim). Cikgu perkenalkan kami dengan adik kembar perempuannya. Kami terkejut, seronok pun ada. Muka sama. Putih mulus, dengan cara pakai tudung yang sama (bayangkan stail tudung tahun awal 1990an- tanpa bonggol unta yang tinggi ye!)

Beberapa tahun selepas itu, kami masih juga sesekali bertandang ke rumah cikgu, Hari Raya dsb.

Kemudian, semakin lama semakin jarang berhubung. Sehinggalah cikgu menyambung pelajarannya dalam jurusan perundangan di University East of Anglia, London. Beliau pernah mengirim kepada aku sekeping poskad berlatarkan universiti beliau serta sekeping gambarnya. Itulah yang pertama dan terakhir.

Sehinggalah, aku menjejak kasih kembali sekitar 2003. Itupun melalui telefon. Beliau masih ingat pada aku ketika itu. Dan beliau sudah bergelar peguam. Rasanya aku menghubungi cikgu untuk mendapat nasihat undang-undang.

------------kini zaman teknologi serba canggih, dengan FB, Google etc. Aku cuba jejaki di alam maya. Tapi, hampa. Manalah tau, untung nasib cikgu terserempak dengan entri ini, saya ingin membuat pengakuan- saya teringatkan cikgu! :) apalah agaknya khabar beliau sekarang? tentu sudah berkeluarga.

Dan, sedang aku mengimbau kenangan bersama cikgu Izzah, aku teringatkan seorang lagi cikgu Kampung Tunku aku, juga cikgu sambilan, atau lebih tepat Ustazah sambilan. Tapi, aku lupa nama uniknya kecuali nama pangkal RATNA. Sekali lagi aku gunakan enjian carian, tapi tiada apa-apa. Kemudian, tiba-tiba, nama itu datang, kenangan itu menerjah...aku ingat kembali! Cikgu RatnaDumilah Sari, asal singapura. Ketika hari terakhir beliau, cikgu hadiahkan sekeping penanda buku buatan sendiri dengan kata-kata hikmat "Strive harder for a better future". (wow, tidak semena-mena teringat tentang itu juga).

Aku juga masih ingat, betapa aku merujuk kepada kamus untuk perkataan "strive" dan jadikan ayat itu motivasi kehidupan pembelajaran aku.

Dua nota penting kepada entri ini:
1) Betapa orang yang baik walaupun sekadar "menyentuh" hidup kita walaupun seketika, tetap tersemat dalam kenangan, apatah lagi seorang insan bergelar cikgu.
2) Benar, kata orang - tentang kuasa minda. The power of our brain = minds. How, suddenly, without any warning we could be reminded of something that has passed our lives many years back. Memory do remains.

No comments: