Disclaimer: All credits goes to Professor Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah as this is taken from his blog
Bolehkah sejarah Melayu dipadamkan?
(Sinar Harian 16 Apr 2012)
Setiap kali bila isu pendidikan vernacular disentuh, saya
diserang habis-habisan. Kedua ibu bapa saya, terutama ibu saya yang baharu
sahaja meninggal, dihina dan dikutuk, menggunakan perkataan yang amat lucah.
PengIslaman sayapun dikeji. Perkataan khitan (bersunat) dipermain-mainkan,
hanya kerana saya tidak kulup lagi. Sehingga Yang di-Pertuan Agong yang tidak
bersalah pun dibabitkan sama. Lebih serius lagi, ada ugutan mencederakan saya. Jika
di Singapura, tempat yang menjadi pujian dan pakatan ultra kiasu, sudah lama
mereka ini dihumban ke dalam penjara. Tetapi di negara kita, begitulah
keadaannya, ‘terlalu bertoleransi’ kerana takut hilang kuasa.
Persoalannya, di mana salah saya? Apakah yang dilontarkan
itu tidak benar? Jika menyimpang, perbetulkan. Itu baru namanya, kita orang
yang bertamadun. Bukannya menganggap diri bertamadun, tetapi berpelakuan amat
hina, berfikiran dan bertindak seperti
orang hilang akal. Kenapa diri atau peribadi yang diserang, bukan hujah yang
dibahaskan? Saya menghormati mereka yang berlapang dada dan dapat
membincangkannya dengan baik.
Baiklah, jika masih tidak berpuas hati, saya akan ulangi
apa yang telah ditulis sebelum ini. Buktikan kepada saya di manakah negara
dalam dunia ini memberikan kebebasan mendapat pendidikan perkauman sebegini
rupa? Ataupun sekurang-kurangnya
menyamai sedikit apa yang dilakukan oleh negara kita? Tidakkah Malaysia adalah
syurga kepada kaum selain Melayu dalam mengekalkan identiti dan jatidirinya? Kita
terus kekal seperti mana asalnya, tanpa langsung diusik dan dijentik. Anak
Cina/India kekal tulen Cina/India, malah lebih Cina dari di China. Di China pun
tidak ada kebebasan dan tidak setulen seperti ini? Apa lagi yang kita mahu?
Bumiputera Sabah dan Sarawak yang mempunyai lebih hak pun jarang bertindak
seekstrem kita hari ini.
Saya harap pihak berkuasa tidak akan tunduk demi masa
depan negara tercinta ini. Jika kita tunduk, maka tergadailah maruah dan jati
diri sebuah negara yang terletak di kepulauan Melayu. Apakah mungkin manusia
mati meninggal nama? Pada saya, jika harimau mati meninggalkan belang, gajah
mati meninggalkan gading. Apakah mungkin Melayu mati, di mana tulangnya?
Sepuluh jari saya susun jika orang Melayu tersinggung dengan tulisan ini. Terimalah
muhasabah ini dengan lapang dada, kerana ikatan agama kita teramat kuat
daripada ikatan bangsa membuatkan saya berani bersuara.
Saya sudah tidak rasa diri berbangsa, kerana Islam
mengajar saya, Allah tidak akan tanya dikubur nanti, apa bangsa kamu! Cina atau
Melayu! Tetapi pertanyaan yang amat takut tidak dapat dijawab, walaupun
soalannya telah bocor, adalah “siapakah Tuhan kamu”? “Apakah agama kamu”? dan
sebagainya. Wahai rakan seagamaku, percayalah dalam hati ini, tidak ada
kepentingan lain, melainkan untuk melihat agama Islam dan umatnya, dibela dan
terbela, disanjung dan dijunjung, terus kekal di bumi bertuah ini. Bukannya,
dihina dan dipijak-pijak. Saya sudah tidak hirau lagi dituduh pengkhianat,
hatta disuruh jangan lagi menggunakan surname
TEE.
Saya tidak pernah diupah oleh Umno untuk menulis, mahupun
menerima habuan Umno atau pihak ketiga. Saya tidak akan bersuara, jika semuanya
teratur dan berjalan dengan baik. Saya tidak mahu mencari masalah. Saya mahu
hidup aman, bebas dari kutukan, makian, hinaan dan cercaan orang lain. Namun,
apakan daya, selagi Islam dan umatnya tidak terangkat dan terdarjat, selagi
itulah perjuangan tidak selesai. Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan dan
membuka hati kita semua. Ia perlu dilakukan dengan cepat, kerana masa tidak
menunggu kita. Jika kita terus berpolitik, saya bimbang, kesempatan mungkin
tidak datang untuk kali kedua. Sementara berkuasa, lakukanlah yang terbaik
untuk agama, bangsa dan negara.
Ultra kiasu sudah menjadi terlalu kuat. Semakin terus
menggunakan segala ruang dan peluang pada waktu kritikal ini, kerana mereka
takut ruang dan peluang ini mungkin tidak datang lagi, walaupun mereka tahu
ruang dan peluang itu masih terbuka luas, dengan adanya orang Melayu Islam yang
belot bersama mereka, sepakatan dengan mereka. Justeru, wahai saudaraku, sekali
lagi saya paparkan apa yang telah diberikan selama ini, selain daripada
tuntutan ultra kiasu yang terbaru. Bacalah, saya tidak akan ulangi lagi.
Pertama, SJKC sebenarnya tidak boleh disentuh sejak
kewujudannya. Kita hanya berjaya menyeragamkan silibus pelajaran daripada
berkiblat negara asal kepada silibus kita. Itupun masih lagi dipersoalkan,
kerana penyeragaman itu tidak berlaku secara menyeluruh kerana kita terus
tunduk. Subjek Bahasa Melayu walaupun
telah diseragamkan, tetapi teksnya tidak sama berbanding aliran kebangsaan.
Bahasa Melayu di SJKC/T lebih mudah, berbanding sekolah kebangsaan.
Penyeragamanya ditentang oleh ultra kiasu kerana jika diberatkan bahasa Melayu,
penguasaan bahasa ibunda akan berkurang.
Kedua, cadangan penambahan waktu pengajaran dan
pembelajaran (P&P) bahasa Melayu di SJKC juga gagal. Cadangan kerajaan
ditolak mentah-mentah. Alasannya, jika ditambahkan waktu P&P bahasa Melayu,
ia akan mengambil ruang masa subjek bahasa ibunda. Penguasaan bahasa ibunda
akan terjejas.
Ketiga, cadangan P&P subjek sejarah (Malaysia
Negaraku) di sekolah rendah, untuk meningkatkan semangat patriotism. Pun tidak
berjaya. Jika subjek ini mahu diajarkan juga, mesti diajar dalam ibunda, bukannya
dalam bahasa Melayu, kerana akan menjejaskan penguasaan bahasa ibunda.
Keempat, kegagalan Sekolah Wawasan. Semua Sekolah Wawasan
yang telah didirikan gagal untuk menarik perhatian orang Cina. Alasannya,
percampuran dengan orang lain, akan mengurangkan penguasaan bahasa ibunda. SJKC
mesti beroperasi dengan penuh kecinaan, baru murid-murid dapat menjadi Cina
tulen.
Pokoknya, mereka tidak mahu menjadi Cina Pisang. Titik. Mereka
mahu jadi secina cinanya. Persoalannya, apakah tindakan sebegini baik untuk
pembinaan sebuah negara bangsa? Mereka tidak mahu dikaitkan dengan Melayu.
Dengan orang putih tidak mengapa.
Pendek kata, ultra kiasu langsung tidak mahu bahasa
ibunda mereka cair. Sebarang gugatan akan ditentang habis-habisan, tanpa
memikirkan agenda negara. Pada mereka, biarlah anak-anak mereka langsung tidak
tahu berbahasa Melayu, asalkan mereka mesti tahu berbahasa Cina.
Fikirkanlah wahai pemimpin sekelian. Benar, undi dan
pengekalan kuasa penting. Tetapi fikirkanlah kepentingan agenda membina negara.
Saya tidak menjadi masalah atau tidak pernah risau, jika perkara ini berlaku di
negeri China, tetapi ingatlah kita berada di Malaysia, perkataan ‘Malay’ itu
masih wujud, dengan sedikit penambahan perkataan ‘Sia’. Jika tidak berlaku
kemasukan Sabah dan Sarawak, negara ini akan terus kekal dengan nama Tanah
Melayu. Bayangkan jika perkara ini terus berlaku, sedangkan namanya masih kekal
Tanah Melayu. Bolehkah sejarah ‘Tanah Melayu’ dipadamkan begitu sahaja?








